Selasa, 20 Julai 2010

LOKASI

Kampung Tok Dor termasuk di bawah penyeliaan Mukim Penghulu Diman dan pentadbiran Pejabat Daerah Hulu Terengganu. Jarakan dari pekan terdekat iaitu Pekan Ajill sejauh 13 KM dan dari bandar Kuala Berang 18 KM. Manakala jarak dari pusat pentadbiran kerajaan negeri iaitu Bandaraya Kuala Terengganu sejauh 53 KM. Bandar Kuala Berang merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Hulu Terengganu. Kedudukannya agak strategik kerana berada di jalan laluan ke Kuantan melalui lebuh raya Jerangau Jabor. Pengguna jalan raya dari Bandaraya Kuala Terengganu dan Kota Bharu boleh menggunakan laluan ini untuk ke Kuala Lumpur dan jarak perjalanannya adalah lebih dekat. Laluan ini juga berhubung terus dengan Lebuh Raya Pantai Timur.

Kampung Tok Dor terdiri dari kampung-kampung kecil seperti kampung Gaung Hangus, Peroh dan Tasek Nesan. Semua kampung ini ditadbir oleh JKKK Kampung Tok DOr dan Peroh. Kampung ini juga termasuk di dalam kawasan KETENGAH dan terdiri dari 10 orang jawatan kuasa Gerakan Desa Wawasan.

SEJARAH

Nama kampung Tok Dor terilham berdasarkan nama individu pertama yang hadir dan menetap di sini. Beliau merupakan peneroka pertama yang membuka tanah di kawasan ini. Namanya ialah Dor, namum begitu memandangkan usianya telah lanjut maka diberikan gelaran Tok. Bersempena dengan panggilan itu maka ujud nama kampung ini dengan panggilan kampung Tok Dor.